Penyanyi Safura Ya'cob menjadi peserta pertama yang tersingkir di konsert kedua Gegar Vaganza 5 (GV5) yang berlangsung malam tadi.

Menyampaikan lagu Diari Biru nyanyian asal Maya, Safura mengakui dirinya melakukan kesilapan ketika menyampaikan lagu tersebut.

"Saya akui saya ada buat beberapa kesilapan dari segi tempo ketika menyanyikan lagu terbabit. Saya sudah mencuba yang terbaik untuk menghiburkan semua.

"Saya terlepas fokus kerana ada pertukaran susunan muzik di saat akhir dan berlaku beberapa kesilapan teknikal bercampur dengan perasaan gugup.

"Namun begitu, saya reda dengan keputusan ini. Sudah tertulis rezeki saya hanya di sini di GV5. Terima kasih kepada pihak produksi yang memberikan saya peluang sebegini

"Terima kasih juga kepada suami, keluarga dan peminat yang tidak berhenti menyokong dan memberikan kata semangat," katanya.

Tambah pelantun lagu Kala Cinta Itu Buta ini, dia juga kecewa kerana tersingkir.

"Saya kecewa bukan kerana saya tak menang GV5, tetapi kerana saya keluar sebelum saya sempat menonjolkan kebolehan untuk menyanyikan lagu lain.

"Saya rasa saya sudah kecewakan peminat yang menyokong, tetapi saya berharap agar peminat yang kecewa itu tidak putus asa untuk menyokong saya di luar nanti, Insya-Allah," katanya optimis.

Bersiaran selama lapan minggu, GV5 boleh disaksikan secara langsung di saluran Astro Ria (104) dan Ria HD (123) pada setiap Ahad jam 9 malam.

Layari laman web www.gegarvaganza.com.my untuk segala informasi lanjut mengenai GV5.

Foto: Instagram Gempak / @amyhafizahmad