Kejayaan empat filem francais, Adnan Sempit yang pernah mencatat kutipan pecah panggung sebelum ini membayangkan jenama filem itu masih laku untuk dijual pada penonton tapi dalam sekuel terbaru nanti, tiada lagi Shaheizy Sam sebagai pelakon utama.

Produser filem terkenal yang juga Ketua Pegawai Eksekutif MIG Pictures, David Teo memberitahu sekuel filem tersebut akan diterbitkan pada tahun depan.

"Adnan Sempit antara filem baru yang akan muncul pada tahun depan tapi semua akan ditukarkan kepada pelakon baru dan bukan lagi Sam," katanya secara eksklusif kepada Astro Gempak.

Jelasnya, Sam tidak lagi sesuai untuk membawa watak utama sebagai Adnan dalam filem sekuel terbaru itu nanti kerana faktor usia.

"Memang tidak sesuai sebab kita menjenamakan semula filem tersebut. Ia masih menggunakan judul yang sama iaitu Adnan Sempit tapi akan memperkenalkan hero baru.

"Filem ini akan tampil dengan gaya baru, nama sama sebab jenama sudah ada mudah untuk aspek pemasaran filem ini nanti," katanya.

David percaya semua filem komersial yang pernah diterbitkannya masih boleh dijual.

"Filem yang sudah ada nama tidak perlu untuk mula iklan dari awal. Sam sudah jadi otai, jika letak rempit sekarang ia lebih pada orang muda dan bukan seperti Sam.

"Watak Sam boleh jadi sebagai tauke untuk penampilan istimewa dalam filem sekuel ini nanti," katanya.

Ujarnya, pelakon baru yang akan menggantikan Sam masih belum dipilih kerana filem baru ini masih di proses awal pembikinan skrip untuk menjelaskan setiap watak yang akan muncul kelak.

Teks oleh: Elrafaei Sapi