Penyanyi rap Aman RA bukan nama asing dalam dunia hip hop tempatan, cuma baru-baru ini selepas lagu tema filem PASKAL berjudul Cabang Tiga menjadi siulan, ramai yang mula ‘mencari’ siapa pemilik lagu tersebut.

Aman RA atau nama sebenarnya Aman Jamaluddin, 31, mula mendalami dunia rap sejak zaman sekolah menengah dan telah banyakvmenimba pengalaman dengan menyertai pertandingan rap dan membuat persembahan di pelbagai acara tertutup.

Fasih dalam kedua-dua Bahasa Melayu dan Inggeris, Aman RA telah bekerjasama dengan beberapa nama besar dunia muzik tempatan seperti Altimet, Hunny Madu, Dayang Nurfaizah dan Hazama.

Malah dia terus mengukuhkan kedudukannya dalam arena muzik Malaysia dengan melancarkan lagu-lagu berkualiti setiap kali peluang itu muncul.

Buktinya, video lirik lagu Cabang Tiga telah ditonton hampir 700 ribu kali sejak ia dilancarkan.



Aman RA juga telah dipilih sebagai penulis lirik dan diberi peluang untuk menyampaikan lagu tema Sukan Paralimpik ASEAN ke-9 berjudul ‘I Am Here’ di Kuala Lumpur.

Selain hebat beraksi di pentas, penyanyi rap berbakat ini juga seorang usahawan dan telah melancarkan jenama barangannya sendiri iaitu BudakFlat Co dan Boleh Pergi Mampus.

Terbaru, Aman RA muncul dengan lagu berjudul ‘Bangun’ yang diambil daripada album pengenalannya REBEL.

‘Bangun’ sebenarnya merupakan sambungan lagunya yang terdahulu berjudul ‘Budak Flat’ yang dilancarkan pada tahun 2016.



Sungguhpun ‘Budak Flat’menceritakan kenyataan yang lebih gelap tentang kehidupan seorang pemuda yang cuba melalui hidup di sebuah bandaraya pesat, bangun memberi pandangan lebih positif kepada pendengar dalam menyampaikan pesanan motivasi untuk bangun dan berjuang demi memperbaiki hidup.

Moralnya, kejarlah impian kerana tiada apa yang mustahil jika bekerja keras.

Aman RA sendiri menyatakan yang dialah ‘Budak Flat’ yang dimaksudkan di dalam lagu tersebut dan sentiasa mengejar impian untuk berjaya tanpa memikirkan kesusahan yang ada.