Vokalis kumpulan Drama Band, Aepul Roza tidur selepas jam 8 pagi sejak bergelar bapa.

Aepul yang mendirikan rumah tangga dengan pelakon Leez Rosli pada Disember 2014 menyambut kelahiran puteri sulung, Nur Saffiya Alisha pada 4 April lalu.

"Sejak ada anak, waktu tidur saya telah berubah kerana Alisha selalu berjaga malam dan waktu tidurnya pula di siang hari.

"Saya bersama isteri silih berganti berjaga demi Alisha. Contohnya, jika saya menghabiskan kerja di studio jam 3 pagi, saya akan terus berjaga sampai pukul 8 pagi.

"Selepas itu barulah Alisha melelapkan mata dan saya akan mencuri masa untuk tidur seketika," katanya kepada Astro Gempak.

Teruja menyambut kedatangan Ramadan dan Syawal kali ini, Aepul gembira kerana dapat menyambut bulan yang mulia dengan kehadiran Alisha.

"Sudah tentunya pengalaman menyambut Ramadan dan Syawal akan menjadi berbeza selepas kehadiran Alisha.

"Anak telah menjadi keutamaan pertama kami. Apa-apa yang kami lakukan sekarang, pastinya Alisha akan didahulukan.

"Malah, persiapan untuk menyambut Syawal bagi Alisha juga sudah kami siapkan, saya sendiri pun belum beli baju Raya lagi," katanya yang ditemui di majlis berbuka puasa Indigital bersama Hotel Royal pada Selasa.

Dalam perkambangan lain, kumpulan Drama Band muncul dengan single terbaru berjudul Mencinta Kamu. Single ini akan mula dipromosikan selepas sambutan Aidilfitri nanti.