Pernah mengarahkan filem CEO dan beberapa drama seperti Kekasih Elektrik dan Mandatori, pengarah Razaisyam Rashid menyahut cabaran baru dalam mengarahkan Sembilan.

Sembilan merupakan drama mini bersiri 10 episod yang mengangkat genre seram serta skripnya ditulis oleh Salman Aristo dan Rino Sarjono.

Ia merupakan sebuah lagi naskah premium eksklusif yang menyaksikan kolaborasi nusantara antara Malaysia dan Indonesia di bawah payung penjenamaan Astro Original Series.

"Saya akui, naskah ini sangat berat untuk saya arahkan. Naskah yang saya arahkan sebelum ini seperti Mandatori dan CEO sangat berbeza dengan Sembilan. Karya ini menjadi cabaran baru untuk saya.

"Perjalanan untuk menjalani penggambaran drama bersiri ini juga panjang. Hampir tiga bulan kami berkampung dan antara lokasi utama penggambaran dijalankan di Malaysia iaitu Kampung Orang Asli Kuala Boh, Cameron Highlands, Sungai Lembing, Pahang, sekitar Kuala Lumpur dan Studio Pinewood Iskandar, Johor Bahru," kata Razaisyam.



Tambah sutradara ini, cabaran paling besar yang dihadapi olehnya ialah kekuatan skrip yang sangat mencabar untuk sebuah naskah drama bersiri.

"Sejujurnya, skrip yang ada sangat 'heavy' untuk sebuah drama bersiri. Terlibat dalam projek ini, saya rasakan seperti sedang menjalani penggambaran untuk lima buah filem.

"Babak seram, drama, aksi semuanya dihidangkan. Cukup rencah dan cukup rasa, saya berharap drama bersiri ini bakal menarik perhatian penonton," katanya lagi.



Karya ini menampilkan lakonan hebat pelakon Malaysia dan Indonesia seperti Beto Kusyairy, Atiqah Hasiholan, Bima Azriel, Azhan Rani, Luqman Hafidz, Amir Nafis, Sara Ali dan ramai lagi.

Drama ‘Sembilan’ ini dijangka menemui penonton secara eksklusif di saluran Astro Citra (131) pada bulan Februari 2019.