Dalam tempoh dua tahun di bidang seni, Khai Bahar telah menerima 17 anugerah popular. Dua tahun berturut-turut di Anugerah Planet Muzik (APM) dia memegang gelaran Artis Paling Popular dan sebelum ini Top Top MeleTop Era, anugerah populariti tertinggi dalam Anugerah MeleTOP Era.



Setakat ini, rasanya Khai Bahar masih belum kalah di arena populariti. Malah, saya yakin hujung minggu ini, beliau bakal merangkul Anugerah Bintang Paling Popular di ABPBH. Kenapa saya begitu yakin? Kerana sifat Khai Bahar itu sendiri yang sangat disenangi oleh peminat-peminat beliau.



Mempunyai team yang baik dan penyokong yang kuat adalah penting untuk setiap artis terutamanya penyanyi. Untuk pelakon, peluang lebih terbuka di kaca tv yang boleh ditonton secara percuma. Penyanyi perlu lebih ruang lain untuk menonjolkan diri kerana tidak banyak rancangan nyanyian yang boleh disertai mereka.



Di sinilah Khai Bahar sangat bijak. Sifat merendah diri, tidak penat melayan peminat dan selalu juga ‘belanja’ nyanyian percuma buat pengikut-pengikut di media sosial menjadikan Khai Bahar sangat dekat dengan peminat. Mereka teguh berdiri di belakang beliau. Ya, sifat merendah diri yang banyak sudah terhakis dari sebilangan artis sekarang ini.



Tapi itu di sisi popular, bagaimana pula dari pandangan terbaik? Pada saya, pihak syarikat rakaman perlu lebih pro-aktif untuk mencari lagu-lagu yang mampu bersaing dengan yang sedia ada. Saya tidak nampak Khai Bahar sebagai penyanyi biasa kerana dia mempunyai suara yang cukup bagus. Kalau Dato’ Sri Siti Nurhaliza pun memberikan greenlight kepada Khai Bahar untuk berduet bersamanya, saya rasa itu satu penghormatan yang besar dan sudah tentunya Siti tahu apa yang dilakukannya.



Put more effort into the song! Belanja lebih sikit untuk live strings dan lain-lain tidak akan merugikan syarikat rakaman kerana Khai Bahar mempunyai pengikut yang kuat. Cari pencipta lagu yang tengah hot dan penulis lirik yang power. Kalau tidak pun, Khai Bahar juga boleh menulis lirik sendiri. Bila lagu yang kuat digabungkan dengan sokongan yang kuat, saya percaya suatu hari nanti Khai Bahar akan turut menggenggam trofi terbaik, tetapi jangan tunggu lama-lama.



Untuk Khai Bahar, awal-awal saya nak ucapkan tahniah! Teruskan usaha untuk jadi yang terbaik dan sentiasa merendah diri serta tidak lupa siapa yang membantu kita naik. Sentiasa bersyukur dan ibu bapa adalah orang yang paling penting dalam hidup!

Jumpa lagi!

Bila Badrul Bicara

Kredit Gambar: Instagram @khaibahar94