Juri tetap Gegar Vaganza musim kelima (GV5), Datuk Ramli MS berpendapat penyanyi Zamani Slam tidak memberikan persembahan yang terbaik di konsert pertama malam tadi.

Ramli MS mendedahkan Zamani telah menyanyi tiga kali lebih bagus daripada persembahannya ketika melakukan latihan rehearsal sehari sebelumnya.

“Pada saya apa yang penonton dengar dan lihat Zamani malam ini, dia hanya menyanyi sahaja.

“Tapi masa rehearsal, saya dengar dia bukan sahaja menyanyi malah meratap yang mana cara nyanyian hebat itu saya hanya pernah dengar penyanyi Allahyarham Sudirman sahaja boleh lakukan begitu.

“Jadi sayanglah kerana ini pertandingan dia perlu tonjolkan semua di pentas sebenar,” katanya kepada Gempak.

Menurut Ramli lagi hampir kesemua peserta tidak dapat membuat persembahan yang memuaskan kerana faktor gugup.

“Kegugupan membunuh standard persembahan mereka malam ini.

“Terus-terang apa yang saya dengar malam ni tak sama dengan rehearsal semalam kerena sebelum ini mereka tiga kali bagus.

“Saya harap mereka boleh mengatasi masalah ini untuk konsert seterusnya,” katanya lagi.

Selain Zamani, GV5 turut dibarisi 11 peserta lain seperti kumpulan Elite, Forteen, pasangan duo Billy Zulkarnain, Amelina, Safura Yaakob, Maya Ruslee, Noryn Aziz, Farawahida, Hetty Sarlene, Dia Fadilla dan Shafie Rio

Bersiaran selama lapan minggu, GV5 akan disiarkan secara langsung di saluran Astro Ria (104) dan Ria HD (123) pada setiap Ahad, 9 malam.

GV5 masih mengekalkan Jihan Muse dan Nabil Ahamd sebagai hos manakala pengarah muzik terkenal, Datuk Ramli MS dan Datuk Khadijah Ibrahim akan duduk di kerusi juri tetap.