Bagi peminat lagu Irama Malaysia, nama komposer Datuk Suhaimi Mohd Zain atau Pak Ngah memang cukup popular apatah lagi lagu ciptaannya juga mengangkat nama penulis lirik, Hairul Anwar Harun.

Sebagaimana irama dan lagu tidak dapat dipisahkan, begitu juga hubungan komposer dengan penulis lirik antara Pak Ngah dan Hairul begitu akrab.

Kehilangan Pak Ngah yang meninggal dunia di Tanjung Pinang, Indonesia kelmarin turut dirasai Hairul yang banyak meluangkan masa bersama komposer tersohor itu sebelum ini.

Bagi Hairul, dia terhutang budi dengan Pak Ngah yang sebenarnya banyak mengajarnya cara menghasilkan lirik untuk dijadikan lagu yang sedap didengar pada semua.

Ujar Hairul, dia mengenali Pak Ngah pada tahun 1996 ketika bekerja dengan guru vokal, Siti Hajar dalam satu pementasan teater kanak-kanak Tan Sri P Ramlee manakala Pak Ngah ketika itu menjadi pengarah muzik.

"Saya tidak berapa kenal Pak Ngah pada masa itu tapi rupanya beliau melihat saya bekerja dengan Siti Hajar dan bagaimana saya menulis untuk buku program pementasan itu sehingga Pak Ngah berkenan dengan saya dalam diam," katanya dalam temubual eksklusif bersama Astro Gempak, hari ini.

Rezekinya untuk bekerjasama dengan Pak Ngah bermula selepas itu apabila Hairul diajak untuk bekerja dengan Pak Ngah Production dalam projek pementasan seterusnya, Bawang Putih Bawang Merah.

"Pada masa itu, Pak Ngah sedang membuat album Awallah Dondang nyanyian Noraniza Idris. Suatu hari saya masuk kerja, Pak Ngah bertanya pada saya sama ada mahu membuat lirik.

"Saya kata nak tapi saya kata tak pandai dan tak pernah buat lirik. Dia bagitau saya untuk buat pantun dan selepas itu, Pak Ngah ajar bagaimana nak sesuaikan pantun dengan melodi," katanya.

Jelasnya, itulah detik awal Hairul berada dalam industri muzik sebegai penulis lirik.

"Pak Ngah percaya dan menghidu bakat penulisan saya serta sentiasa percaya pada karya saya. Beliau bertanggungjawab membawa saya masuk ke dalam industri seni dan selepas itu saya banyak belajar bagaimana menyesuaikan lirik dengan melodi dan sebagainya.

"Banyak lagu yang diberikan pada saya bukan hanya lagu popular tapi termasuk pementasan teater seperti Citrawarna pada tahun 1999 di mana 10 negeri saya buatkan lirik lagunya serta persembahan pembukaan dan penutup Sukan Komanwel pada tahun 1998," katanya.

PAK NGAH KONGSI ILMU TEKNIK CIPTA LIRIK



Akuinya, ilmu menghasilkan lirik yang dikongsi Pak Ngah membuatkan Hairul lebih mudah menghasilkan lirik lagu sehingga kini dan dia juga mengajar ilmu tersebut pada orang lain termasuk pelajarnya di Fakulti Filem, Teater dan Animasi, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Puncak Perdana, Selangor.

Hairul yang juga pensyarah sambilan di universiti itu memberitahu dia berpeluang bekerjasama dengan Pak Ngah dalam pelbagai lagu antaranya Awallah Dondang diikuti Sesuci Lebaran nyanyian Datuk Seri Siti Nurhaliza, Dikir Puteri (Noraniza) dan lagu Siti yang lain seperti Ya Maulai, Balqis dan Hati Kama.

"Tahun 1997 hingga 2000 adalah masa kemuncak Pak Ngah dan juga saya. Secara keseluruhan lagu Pak Ngah, saya buat lirik.

"Kami sama-sama naik pada masa itu tapi Pak Ngah mula kerjaya dalam muzik sudah lama," katanya.

Hairul mengakui dia cukup serasi bekerjasama dengan Pak Ngah yang gemar memberi melodi padanya terlebih dulu untuk didengar sebelum dibuat lirik.

"Pak Ngah tahu saya masih 'merangkak'. Beliau bagi saya melodi dan suku kata. Dari situ saya tahu cara mudah buat lirik dari rangkap demi rangkap.

"Saya belajar teknik itu daripadanya. Jika ikut teknik tersebut, insha Allah lagu boleh jadi sedap," katanya.

Ikuti sambungan esok kisah di sebalik sejarah lagu Cindai dan Balqis yang diangkat sebagai Juara Lagu pada Anugerah Juara Lagu (AJL) 1998 dan 2000.

Teks oleh: Elrafaei Sapi

Foto: Astro Gempak & IG @pakngahsuhaimi