Adik bongsu pelakon Fasha Sanda, Elisya mengaku takut untuk berlakon bersama kakaknya dalam filem Anak Mami Nasi Kandar (AMNK)

Menurut Elisya Sandha, 17, dia risau sekiranya sifat kakaknya yang tegas terbawa-bawa ke set penggambaran.

“Sehari sebelum bermula penggambaran AMNK saya mengadu dengan mama takut nak berlakon dengan kakak (Fasha) sebab pertama kali bergandingan dengan dia.

“Jadi ada rasa takut kerana kakak saya garang dan kadang kala terpaksa ditenangkan oleh mama. Tapi apa yang mengejut apabila berada di set penggambaran dia banyak beri tunjuk ajar dan terus mood bertukar jadi happy sebab tak sangka dia terlalu banyak membantu,” katanya kepada Astro Gempak.

Elisya ditemui ketika sidang media di Intekma Resort, Shah Alam, Selangor.

Tambah Elisya, pengalaman menemani kakaknya ke set penggambaran memberi kelebihan buatnya mendalami ilmu lakonan.

“Saya bersyukur kerana Prof A. Razak Mohaideen beri peluang kepada kami dua beradik untuk membintangi AMNK. Lebih-lebih lagi sejak kecil saya selalu ikut kakak ke set penggambaran filem-filem Anak Mami.

“Dari situ saya berpeluang mempelajari serba sedikit gaya dan cara kakak berlakon, secara automatik minat untuk ikut jejak langkah kakak timbul," katanya.

Dalam pada itu, Elisya merancang untuk fokus dengan karier lakonan selepas selesai menghadapi Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM).

“Saya berhenti berlakon buat sementara untuk beri tumpuan penuh kepada SPM dan Insha-Allah jika mama bagi kebenaran, saya nak jadi pelakon macam kakak,” katanya.

Selain itu Elisya terharu apabila diberi kepercayaan oleh Prof A. Razak Mohaideen untuk membintangi AMNK.

“Sebelum ini pun saya hanya muncul dengan dua buah filem iaitu Perjanjian Syaitan dan Cendol. Tetapi kali ini saya dapat pengalaman baru kerana berpeluang bekerjasama dengan prof dan kakak sendiri,” ujarnya.

AMNK menampilkan Qi Razali, Fasha Sandha, Maria Farida, Chik Pak Man Telo, Sheila Mambo dan muka baru seperti Ezzaty Abdullah, Elisya Sandha dan Amylia Nastasha Aziz.

Filem terbitan FiTA Studios ini bakal menemui penonton di pawagam seluruh negara pada Hari Raya Aidilfitiri, iaitu 6 Julai ini.