Hajat komposer terkenal, Datuk Suhaimi Mohd Zain atau Pak Ngah untuk meraikan sambutan ulang tahun kelahirannya yang ke-60 tidak kesampaian.

Menurut anak arwah, Nur Syafrina, 32, bapanya mengalami kesukaran bernafas apabila sampai di hotel dan dikejarkan ke hospital oleh anak keduanya, Megat Mohd Syahraini.

"Sebelum meninggal, abah tidak menunjukkan tanda-tanda mahupun perubahan sikap.

"Ini merupakan kali pertama abah meminta untuk menyambut ulang tahun kelahirannya. Sebelum ini, kami sekeluarga yang akan merancang untuknya.

"Keinginan Allahyarham itu secara tidak langsung membuatkan kami berasa terkilan kerana tidak dapat menunaikan impiannya untuk menyambut ulang tahun kelahiran," katanya kepada Gempak.

Hampir 500 orang tetamu yang terdiri daripada ahli keluarga, rakan artis dan sahabat handai hadir bagi memberikan penghormatan terakhir buat jenazah komposer itu.

Antara rakan artis yang turut hadir ialah Datuk Seri Siti Nurhaliza, Datuk M Nasir, Noraniza Idris, Wany Hasrita, Syura Badron, Datuk Nassier Wahab, Edrie Hashim, Liza Abdullah dan ramai lagi.

Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Jalan Ampang, selepas solat Asar.

Pak Ngah dikenali sebagai komposer dan pengarah muzik irama tradisional dan pop etnik.

Antara karya hebat ciptaan Pak Ngah adalah Nirmala (Datuk Seri Siti Nurhaliza), Dikir Puteri (Noraniza Idris) dan lagu Laksamana Raja Di Laut (Iyeth Bustami) yang popular di Indonesia.