Jasmine Suraya Teruja Kerana Singapura, Brunei, China & Turki!

Hiburan
Jasmine Suraya Teruja Kerana Singapura, Brunei, China & Turki!
Pelakon cantik, Jasmine Suraya Chin teruja apabila filem lakonannya, PASKAL The Movie bakal ditayangkan di luar negara.

PASKAL The Movie yang menemui penonton di lebih 130 pawagam seluruh Malaysia dan Brunei bermula 27 September ini akan turut ditayangkan di negara Singapura, China dan Turki.

Karya arahan Adrian Teh ini bakal menemui penonton di Singapura selepas dua minggu ditayangkan di negara ini manakala akan ditonton oleh peminat wayang di China dan Turki pada akhir Oktober.

"Sejujurnya, saya sangat teruja menantikan tayangan filem ini. Lebih-lebih lagi apabila filem ini bakal ditayangkan di luar negara iaitu Singapura, Brunei, China dan Turki.

"Pelakon mana yang tak teruja dan gembira apabila karya lakonan mereka ditayangkan di negara luar selain Malaysia? Saya berharap filem ini mendapat sambutan yang sangat memberangsangkan," kata Jasmine.

Menggalas watak sebagai Lily, Jasmine berterima kasih kepada Adrian kerana memberikan dirinya peluang untuk terlibat dalam filem ini.

"Semestinya, saya harus berterima kasih kepada Adrian kerana dia memberi saya peluang untuk beraksi dalam filem ini. 

"Pada mulanya saya gementar kerana tema yang dibawakan dalam filem ini sangat berat sehingga datang perasaan gemuruh. Namun begitu, saya ketepikan perasaan tersebut.

"Sebenarnya, pengalaman berlakon dalam filem ini sangat menyeronokkan dan saya gembira dapat mengenali semua pelakon dan tenaga produksi," katanya lagi.


Filem PASKAL The Movie diterbitkan oleh Asian Tropical Films, GSC, Multimedia Entertainment, Granatum Ventures dan Astro Shaw.

Ia berkisarkan mengenai kisah kejayaan anggota elit Pasukan Khas Laut (PASKAL), Tentera Laut Diraja Malaysia dalam Misi Pengaman PBB di Angola pada 1998 dan misi merampas kapal dagang MT Bunga Laurel daripada lanun Somalia di Teluk Aden pada 2011.

Diinspirasikan dari kisah benar, filem ini dibintangi oleh Hairul Azreen, Ammar Alfian, Hafizul Kamal, Taufiq Hanafi, Gambit Saifullah, Theeban G, Henley Hii, Jasmine Suraya Chin dan ramai lagi.

Jom, dapatkan tiket anda sekarang dan sama-sama saksikan pertempuran PASKAL The Movie di medan pawagam!
 

Artikel Berkaitan