Tergelak kecil apabila saya melihat sekeping gambar Lofa seolah-olah memakai beg tangan di kepala. Hanya selepas dilihat betul-betul baru saya sedar bahawa ada orang menambah bentuk tali tas pada turban kulit berwarna merah yang dipakainya.



Kreatif betul rakyat Malaysia bila tiba bab mahu cari pasal ini. Kemudian muncullah geng menokok tambah, maka bertebarlah cerita Lofa pakai beg di kepala. Untunglah buat orang yang pertama 'mencipta' tali tersebut. Banyak saham yang dia dapat! Pulissssss! Tolong tangkap ini orang!



Saya tidak kenal dengan dekat selebriti bernama Noor Neelofa Mohd Noor ini, tetapi mengikuti perkembangan beliau, boleh dikatakan sejak awal lagi. Sejak beliau dilahirkan dari pertandingan Dewi Remaja. Tidak banyak yang indah. Banyak kontroversi. Bergaduh sesama Dewi Remaja, filem Azura yang tidak laku dan beberapa hal lagi.



Kembali ke bidang penulisan juga tidak merapatkan saya dengan Lofa. Hanya memandang dari jauh. Tetapi ada sesuatu yang berlainan dengan wanita yang saya panggil ringkasnya Lofa ini. Dia mula membaiki diri dan memperbetulkan arah tuju.



Auranya kuat dan dia nampak bersungguh untuk memajukan dirinya. Sedikit demi sedikit dia membina dan mencipta karier. Meninggalkan kisah-kisah lama di belakangnya. Saya perhati lagi dan belum ada peluang untuk menemu bual beliau. Beberapa kali bertemu di majlis hiburan juga hanya setakat bertukar senyuman dan anggukan.



Kali pertama saya menemu bual Lofa adalah di acara Anugerah Meletop Era. Dalam kerumunan media mahu menemu bual beliau, sempat juga saya selitkan beberapa soalan peribadi. Tiada satu pun soalan saya yang tidak dijawab. Biarpun ada yang sukar untuk dilafazkan dan air mukanya sedikit berubah, mungkin terkejut dengan pertanyaan sedemikian, namun dia akur, sebagai seorang selebriti, orang berhak tahu dan dia harus menjawab.



Yang pasti, Neelofa bukan seorang selebriti fake seperti beberapa orang yang pernah saya temu bual sebelum ini. Sebagai seorang pemerhati 'manusia', saya lihat Lofa adalah seorang yang jujur ketika memberikan jawapan. Ya, dia bukan maksum! Seperti saya dan seperti anda juga, kita bukan maksum. Ada juga kesalahan-kesalahan yang dilakukannya. Tetapi sekurang-kurangnya dia tidak fake!



Dan wanita kental ini tetap saya anggap sebagai salah seorang ikon fesyen, kalaupun masih bukan di tahap antarabangsa, tapi sekurang-kurangnya sudah ke arah itu. Tidak kiralah ketika beliau bertudung atau memakai turban. Mungkin ada yang bersetuju, dan mungkin juga ada haters yang membangkang, tetapi percayalah, di sudut hati masing-masing tahu bahawa Lofa memang pandai bergaya.



Intai-intailah Instagram @neelofa kerana saya tidak pernah jemu melihat gambar-gambar yang dipaparkan di situ. Dan saya pasti mungkin ketika bibir anda menjuih atau mencebek, anda tetap akui bahawa dia cantik dan bijak bergaya.



Apa yang boleh saya katakan, daripada anda cemburu dengan Lofa membuta tuli, cemburukan kerja kerasnya, cemburukan kehendaknya yang ingin berjaya, cemburukan dengan kejayaannya yang telah dicapai, dan cemburukan keinginannya yang mahu terus menggapai bintang.



Mana tahu, perasaan cemburu yang lahir dengan hati yang tenang mampu juga membawa anda ke tangga kejayaan dalam apa juga bidang yang anda ceburi.



Kepada Lofa, tidak ada apa-apa nasihat yang ingin saya berikan. Terus lakukan yang terbaik dan teruslah memberi insipirasi kepada wanita-wanita di luar sana untuk berjaya. Keep inspiring people!

Jumpa lagi!

Bila Badrul Bicara

Kredit Gambar: Instagram @neelofa