Anggota kumpulan iKON, Jun Hoe akui kurang selesa apabila ada peminat menyuruhnya memadamkan entri terbaru di akaun Instagram.

Menerusi posting tersebut, Jun Hoe memuat naik foto hadiah yang diberikan oleh pelawak dan pengarah filem Jepun, Kitano Takeshi beserta ucapan “Encik Takeshi, terima kasih. Sila datang ke konsert iKON nanti,” tulisnya ringkas.

Namun foto itu mendapat maklum balas negatif daripada pengikut Instagramnya.

Rata-ratanya meminta Jun Hoe memadamkan foto berkenaan kerana pengarah filem itu didakwa mempunyai sejarah kontroversi membenci negara Korea.

“Kitano Takeshi mempunyai kontroversi membenci Korea, tolong padamkan semua posting yang berkaitan dengan dirinya,” tulis seorang pengikut.

Jun Hoe kemudiannya membalas kembali komen tersebut dan menyatakan dia tidak menyukai respon pengikut berkenaan.

“Jangan arahkan saya untuk lakukan itu ini, saya tak suka. Kitano Takeshi, saya sangat meminatinya sebagai seorang artis.

“Mengapa setiap kali timbul sesuatu isu, kamu semua mesti berkelakuan seperti ini dan memadamkan semua bukti.

“Saya juga mempunyai perasaan jadi saya harap anda semua tolong respek mereka. Rasanya tida ada isu sekiranya saya meminatinya sebagai seorang rakan artis,” jelasnya.

Bagaimanapun, foto tersebut telah pun dipadamkan.

Dalam perkembangan lain, iKON dan WINNER bakal hadir ke Malaysia untuk mengadakan konsert di negara ini pada Oktober depan.

Konsert iKON Continue Tour in Kuala Lumpur dan WINNER 2018 Everywhere Tour in Kuala Lumpur itu akan diadakan di Stadium Malawati, Shah Alam pada 13 dan 14 Oktober bermula pukul 6 petang.

Sumber: Allkpop