Selebriti popular, Achey berdepan situasi mencabar dan mencemaskan apabila isterinya hilang secara tiba-tiba ketika mereka masuk ke dalam sebuah gua.

Pengalaman itu dilalui sendiri Achey yang tidak tahu ke mana isterinya menghilangkan diri dalam sekelip mata.

Dia sebenarnya pada mulanya tidak tahu terbabit dalam satu program berkonsepkan ‘game show’ terbaru, Sorok-Sorok Nasib Baik Sayang yang memberikan cabaran pada suami mencari isteri yang hilang.

Produser Eksekutif, Arie Zaharie Productions Sdn Bhd, Arie Zaharie berkata, produksi program ini berpakat dengan isteri selebriti untuk mengenakan suami yang perlu berdepan tugasan yang diberikan sebelum dipertemukan semula dengan isteri.

“Untuk episod kali ini, kami berpakat dengan isteri Achey agar pergi bercuti ke Perlis. Apabila mereka masuk ke dalam sebuah gua, isterinya kemudian menghilangkan diri,” katanya kepada Astro Gempak.

Jelasnya, Achey hanya mengetahui dia terbabit dalam program ini selepas pengacara, Black Hanifah muncul.

“Dia perlu menyelesaikan 3 cabaran termasuk di Padang Besar dan seterusnya pergi ke satu resort dan akhirnya bertemu isterinya semula,” katanya.



Ujarnya, program sebanyak 13 episod ini menampilkan 13 artis berbeza pada setiap minggu.

“Pada awal rakaman setiap episod program ini kami memang meletakkan kamera tersorok dan cabaran program ini mahu melihat bagaimana suami sayang pada isterinya.

“Kami juga memberi tempat percutian pada artis yang dipilih mengikut jadual mereka sebelum berpakat dengan isteri selebriti untuk melaksanakan cabaran dalam program ini,” katanya.

Pada penonton, jangan lupa menyaksikan program Sorok-Sorok Nasib Baik Sayang pada jam 11 malam ini di Astro Warna (saluran 132) dan Warna HD (saluran 124).

Teks oleh: Elrafaei Sapi