Dalam kalangan industri hiburan tempatan khususnya lakonan, nama Fauziah Nawi antara pelakon senior yang disegani ramai kerana mutu lakonan terbaik yang meninggalkan kesan pada penonton sehingga sumbangan seni beliau diktiraf di peringkat universiti.

Fauziah antara 20 penggiat seni yang menerima sijil profesional sarjana dalam industri kreatif pada satu majlis konvokesyen yang dianjurkan Universiti Terbuka Malaysia (OUM) di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Pengiktirafan julung kali yang diberikan pada anak seni itu memberikan makna besar pada kerjayanya sebagai seorang pelakon.

Beliau berkongsi kenangan manis ketika berada pada majlis konvokesyen itu menerusi gambar yang dimuat naik dalam akaun Facebooknya.

"Topi asyik jatuh, tersinggung graduan lain. Rasa macam budak sekolah masa tu. Diam dengar arahan, macam masa perhimpunan," katanya.

Pada majlis sama, pengarah filem yang juga produser terkenal, Datuk Yusof Haslam juga antara karyawan seni yang diraikan apabila menerima Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (PhD).

Ujarnya, beliau menerima pengiktifaran itu memang bukan atas faktor akademik tapi sumbangan dalam industri perfileman sebagai pengarah dan pembikin filem.

"Saya tidak pernah minta apa-apa. Saya ucap terima kasih apabila diberikan pengiktirafan ini," katanya kepada Astro Gempak.

Beliau bagaimanapun enggan memberi komen lanjut mengenai rakan penggiat seni lain yang turut sama menerima pengiktirafan pada majlis sama.

"Bagi saya, setiap universiti ada kayu ukur sendiri untuk memberi setiap pengiktirafan itu. Itu hak kepada universiti termasuk persatuan itu untuk menilai," katanya.

Teks oleh: Elrafaei Sapi

Foto: Facebook - Fauziah Nawi