Pelawak dan penyampai radio ERA, Fad Bocey menepati ramalan apabila diumumkan sebagai juara Super Spontan Xtravaganza (SSX).

Fad yang merupakan anggota kumpulan Lobster Leleh berjaya membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM 100,000 dan trofi.

Manakala gelaran naib johan menjadi milik Izzue Islam sekali gus memenangi wang tunai sebanyak RM50,000 berserta trofi.

Sementara itu, Achey Bocey menduduki tempat ketiga dan membawa pulang wang tunai RM25,000 beserta trofi.

Atu Zero, Joey dan Shahrol Shiro terpaksa berpuas hati berada di tempat keempat, kelima dan keenam serta membawa pulang wang tunai sebanyak RM5,000 setiap seorang.

Berbeza dengan pentas mingguan sebelum ini, SSX akhir menyaksikan pertarungan antara peserta bersaing secara individu untuk meraih gelaran juara.

SSX dihoskan oleh Datuk AC Mizal dan Amir Raja Lawak pula bertindak sebagai ‘pengacau’ atau ‘batu api’.

Tahniah juara Super Spontan Xtravaganza @fadbocey .Tahniah juga kepada naib juara @izzueislam dan tempat ketiga @acheykintangkintung #superspontanxtravaganza

A post shared by Zon Lawak (@zonlawak) on


Minggu akhir SSX menampilkan Ayda Jebat sebagai komentator jemputan bersama komentator tetap, Datuk Afdlin Shauki dan Adibah Noor.

SSX turut dimeriahkan dengan persembahan pembukaan oleh Ismail Izzani.

Pentas akhir SSX bersiaran secara langsung dari Dewan Percubaan Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang pada Jumaat bermula jam 10 malam dan ditayangkan serentak menerusi Astro Warna (saluran 132) dan Mustika HD (saluran 134).

Program ini juga boleh ditonton menerusi aplikasi Astro GO dan ‘on demand’.