Penyanyi Zur Eda atau nama sebenarnya, Zuraidah Mokhtar, 53, berkongsi tips menjalani gaya hidup positif yang diamalkannya.

Menurut Zur Eda, dia sentiasa mencuba untuk tidak terlalu memikirkan masalah yang dihadapi untuk kekal ceria dan positif.

"Bagi saya, semua orang punya masalah, untuk diri saya, saya selalu mencuba untuk tidak terlalu memikirkan masalah yang dihadapi, cuba ketepikan dahulu dan fikir perkara yang lebih penting.

"Selain itu, walau sesibuk mana saya menguruskan rumah tangga, saya tetap akan meluangkan masa bersama kawan-kawan kerana bagi saya, selain keluarga, mereka juga mampu menjadi terapi untuk menjana emosi yang positif.

"Walau sibuk macam mana pun, mesti kena luang masa untuk kawan-kawan kerana ada beberapa perkara yang boleh dikongsi bersama mereka," ujarnya.

Zur Eda ditemui di majlis Sidang Media Konsert Fenomena D'Pop bertempat di KACH'e Wedding & Event Space, Shah Alam dua minggu lalu.

Selain Zur Eda, konsert yang akan berlangsung pada 28 September ini akan turut menampilkan persembahan dari Datuk M Daud Kilau, Datuk Jamal Abdillah, Datuk Nassier Wahab, Rohana Jalil, Amelina, Zamani, Siti Nordiana dan Haiza.

Info selanjutnya mengenai konsert ini boleh di dapati menerusi talian 019-397 7830.