Usahawan kosmetik popular, Datuk Seri Aliff Syukri menegaskan dia tidak bersedih dengan kritikan dan kecaman yang dilemparkan netizen terhadapnya.

Malah, setiap tohmahan yang diterima menerusi media sosial sama ada berkaitan kehidupan peribadi mahupun kerjaya seninya membuatkan dia lebih bersemangat.

"Saya tak rasa 'down' pun, lagi orang kecam lagi saya suka.

"Perkara buruk atau baik sekalipun, kedua-duanya publisiti. Orang tak akan bercakap mengenai kita kalau kita tidak popular.

"Jadi biarkan orang nak kutuk. Bukannya saya merompak atau merogol orang.

"Bagi saya tiada masalah. Yang penting saya tahu diri saya, isteri dan keluarga saya okey," katanya kepada Gempak.

Aliff yang ditemui pada majlis pelancaran Gegar Vaganza 5 (GV5) di Palace of Golden Horses semalam turut menjelaskan isu berbangkit mengenai lagu Bobo Dimana.

Baca: "Tolong Minta Izin Saya!" - Lagu Bobo Dimana Didakwa Tiru Lagu Lain? Rapper Indonesia Buka Mulut

"Orang itu nak publisiti murahan!

"Saya yakin, lagu Bobo Dimana berbeza sepenuhnya. Lirik pun lain.

"Tapi tak mengapalah, semuanya sudah terjawab di Indonesia," tambahnya.

Baru-baru ini, rapper terkenal Indonesia, Roy Ricardo mendakwa lagu Bobo Dimana nyanyi Aliff Syukri, Nursajat dan Lucinta Luna diciplak daripada judul lagu asalnya, Semalem Bobo Dimana.

D'herbs milik Aliff Syukri menjadi penaja utama untuk GV5 manakala Cuckoo dan Adabi selaku penaja bersama.

Gegar Vaganza musim kelima akan bersiaran selama lapan minggu bermula Ahad, 30 September, jam 9 malam secara langsung dari Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Ia turut disiarkan secara eksklusif menerusi saluran Astro Ria (104) dan Astro Ria HD (123) serta boleh ditonton menerusi aplikasi Astro GO dan perkhidmatan “on demand” untuk pilihan yang lebih fleksibel.

Nabil Ahmad dan Jihan Muse pula masih menggalas tanggungjawab sebagai pengacara.

GV5 masih menampilkan Datuk Ramli MS sebagai juri tetap dan Datuk Khadijah Ibrahim kembali ke kerusi tersebut selepas setahun berehat.

Juara GV5 ini bakal membawa pulang hadiah wang tunai RM100,000 berserta trofi manakala RM50,000 untuk naib juara.

Pemenang tempat ketiga bakal mendapat RM30,000 manakala pemenang tempat keempat, kelima dan keenam pula masing-masing bakal membawa pulang wang tunai sebanyak RM20,000, RM15,000 dan RM10,000 beserta trofi.

Layari www.gegarvaganza.com.my untuk segala informasi lanjut mengenai GV5.