Pelakon filem Hanya Aku Cinta Kau Seorang, Fezrul Khan Junaidi mengakui tidak berniat untuk menayangkan bentuk badan sasanya di laman Instagram.

Hanya mahu berkongsi hobi terbarunya, Fezrul mahu apa yang dipaparkan di laman Instagram menjadi pembakar semangat kepada orang ramai yang melihat untuk turut sama-sama mengamalkan gaya hidup sihat.

“Saya tidak mempunyai niat untuk menayangkan badan saya seperti yang telah didakwa oleh sesetengah pihak. Gambar tidak berbaju itu dirakamkan ketika bercuti di Pulau Mabul, Sabah,” kata Fezrul kepada BH Online.

Menyimpan hasrat untuk menggelapkan warna kulit, Fezrul turut menjelaskan yang dia tidak menayangkan badannya hanya kerana untuk menarik perhatian.

“Lagipun, pada masa sama, saya juga menyimpan hasrat untuk menggelapkan warna kulit supaya lebih sekata. Saya pernah memuat naik gambar tidak berbaju ketika bersenam di gimnasium. Saya tidak sewenang-wenangnya menayangkan badan tanpa sebab hanya kerana ingin menarik perhatian,” katanya.

Tambah Fezrul, dia mahu orang di luar sana memandang perkara tersebut sebagai satu perkara yang positif.

“Terpulang kepada mereka di luar sana untuk menilai. Lebih baik sekiranya ada yang memandang positif dan tertarik untuk mengamalkan gaya hidup sihat dengan melihat gambar yang dimuat naik. Dakwaan mengatakan saya lebih 'daring' selepas cerai pun tidak benar," katanya lagi.

Kredit berita: BH Online.