Memukau! Perkataan itu sangat cocok untuk menggambarkan perjalanan konsert Tulus Live at Istana Budaya yang berlangsung malam tadi.

Dengan alunan vokal padu, penghayatan mendalam serta aura tersendiri, Tulus berjaya membawa penonton yang hadir berlayar ke satu destinasi yang membahagiakan.



Penyanyi kelahiran Bukittinggi, Sumatera ini membuatkan peminat yang hadir sama-sama menyanyi, menari dan berhibur.

Ada juga peminat tegar Tulus yang mengalirkan air mata setiap kali jejaka itu selesai menghabiskan lagunya.

"Saya rasa berbesar hati dengan sambutan yang sangat positif pada malam ini. Apa yang penting, semua terhibur dan pulang dengan hati yang senang apabila sudah sama-sama menyanyi ketika konsert.

"Melihatkan persembahan saya pada malam ini, saya meletakkan tahap berpuas hati di skala 80 sehingga 90 peratus. Sudah pasti saya ternanti peluang seterusnya untuk membuat persembahan atau konsert di Malaysia.



"Jika ada peluang, Insya-Allah saya mahu sekali lagi menghiburkan peminat-peminat di Malaysia dengan iringan muzik yang lebih lengkap lagi," katanya yang ditemui usai konsert.

Menerusi konsert berdurasi hampir dua jam itu, penyanyi ini menghiburkan seramai 1,400 penonton dan membawakan rangkaian lagu popular seperti Jangan Cintai Aku Apa Adanya, Sepatu, Pamit, Teman Hidup, Tukar Jiwa, Baru, Gajah dan Manusia Kuat.



Tulus mengakhiri persembahannya pada malam itu dengan menyampaikan lagu Sewindu yang berjaya membuatkan penonton merinding.

Konsert anjuran Shiraz Projects ini turut dihadiri oleh ramai selebriti tempatan iaitu Datuk Seri Siti Nurhaliza, Dayang Nurfaizah, Misha Omar, Sherry Alhadad, Adibah Noor, Nabila Huda, Indah Ruhaila, Nina Nadira dan ramai lagi.