Kredibiliti Serta Kepakaran Panel Dana FINAS Diragui

Hiburan
Kredibiliti Serta Kepakaran Panel Dana FINAS Diragui
Isu ketirisan dana Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) yang masih menjadi tanda tanya dalam kalangan ramai penggiat seni terus dipersoal sejauh mana penyelesaiannya.

Timbul pula persoalan baru apabila ada pihak meragui kelayakan panel yang dilantik FINAS.

Prosedur agihan Dana Kandungan Digital (DKD) membahagikan pemohonan kepada dua peringkat iaitu Penilaian Pembangunan Skrip dan Penilaian Produksi sebelum jumlah dana ditetapkan oleh jawatankuasa yang diketuai Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

Sebaik diluluskan, pemohon akan melaporkan pekembangan projek melalui proses mesyuarat verifikasi 'milestone' yang akan meneliti serta menilai kesemua aspek penerbitan menuruti spesifikasi telah ditetapkan.

Bagaimanapun, dalam perkembangan terkini segelintir karyawan seni meragui kelayakan beberapa ahli panel menilai sekaligus membuat keputusan.

Sumber memberitahu Astro Gempak, wujud banyak kes di mana panel dalam bidang lain seperti penulisan skrip diberi kepercayaan untuk membuat penilaian ke atas semua aspek penerbitan.

"Pernah berlaku baru baru ini di Kota Kinabalu apabila tiada panel yang berlatar belakang dokumentari sedangkan lebih separuh dari jumlah pembentangan berkaitan idea bukan fiksyen (dokumentari) seolah olah sesi pembentangan hanya tangkap muat asal ada," katanya.

Isu tersebut menarik perhatian ramai apabila ada pemohon dana mengamuk di Facebook selepas kebolehannya mengarah dipertikai panel yang pernah menjadi pengkritik filem.

"Pelik bagaimana panel itu memperlekeh kemampuannya mengarah filem kononya dia hanya pengarah drama sebelum ini," katanya.

Ujarnya, panel sepatutnya memberi galakan dan peluang kepada pemohon yang konsisten untuk berkarya. Malah, mereka juga membantu dalam apa cara dalam mencetus idea kreatif bukannya mematahkan semangat penggiat seni. 

Sumber tersebut juga mendakwa wujudnya 'favouritisme' ditunjukkan pengurusan dalam menugaskan panel tertentu untuk berada dalam semua sesi pemohonan dana ('pitching').

"Apakah terdapat muslihat atau pakatan di sebalik perlantikan panel tertentu supaya meluluskan  pemohonan yang disokong oleh orang dalam. Jika gejala ini dibiarkan berterusan, sangat jelas bahawa FINAS masih tidak berubah," katanya.

Teks oleh: Elrafaei Sapi

Artikel Berkaitan