Penyanyi Amelina, Zamani, Maya Matahari serta kumpulan Elite dipilih sebagai peserta program realiti Gegar Vaganza 5 (GV5).

Tampil dengan sembilan peserta solo, satu penyertaan kumpulan duo dan dua penyertaan berkumpulan, GV5 menjanjikan persaingan yang lebih sengit pada musim ini.

“Alhamdulillah, pengajuran GV5 masih diteruskan dengan 12 peserta yang terdiri daripada penyanyi solo, duo dan berkumpulan.

“Kami berharap agar orang ramai dapat memberikan sokongan terhadap program ini seperti musim-musim sebelumnya,” kata Raqim Ahmad selaku Ketua Strategi Pembangunan Kandungan Hiburan Astro.

Selain Amelina, Zamani dan Maya Matahari dan Elite, GV5 turut menampilkan Dia Fadila, Hetty Sarlene, Safura, Noryn Aziz, dan Farawahida.

Turut serta ialah Billy Zulkarnain, Shafie (Rio) dan kumpulan Forteen.

Gegar Vaganza musim kelima akan bersiaran selama lapan minggu bermula Ahad, 30 September, jam 9 malam secara langsung dari Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Ia turut disiarkan secara eksklusif menerusi saluran Astro Ria (104) dan Astro Ria HD (123) serta boleh ditonton menerusi aplikasi Astro GO dan perkhidmatan “on demand” untuk pilihan yang lebih fleksibel.

Nabil Ahmad dan Jihan Muse pula masih menggalas tanggungjawab sebagai pengacara.

GV5 masih menampilkan Datuk Ramli MS sebagai juri tetap dan Datuk Khadijah Ibrahim kembali ke kerusi tersebut selepas setahun berehat.

Juara GV5 ini bakal membawa pulang hadiah wang tunai RM100,000 berserta trofi manakala RM50,000 untuk naib juara.

Pemenang tempat ketiga bakal mendapat RM30,000 manakala pemenang tempat keempat, kelima dan keenam pula masing-masing bakal membawa pulang wang tunai sebanyak RM20,000, RM15,000 dan RM10,000 beserta trofi.

Layari www.gegarvaganza.com.my untuk segala informasi lanjut mengenai GV5.