Pengacara Daphne Iking mempertikaikan peraturan sebuah masjid popular di Dubai, Masjid Sheikh Zayed yang melarang orang awam menunaikan solat di kawasan tertentu.

Daphne yang keliru dengan peraturan yang ditetapkan pada mulanya menjawab komen peminat yang memuji keanggunannya berhijab dan menutup aurat untuk memasuki masjid terbabit.

"Saya mahu mendirikan solat tetapi tak dibenarkan. Kenapa?" tulisnya menjawab komen yang ditulis pengguna @oyeenshahabuddin.

Namun, pengguna itu menerangkan ruangan solat khas untuk wanita berada di bahagian lain masjid tersebut.

"Boleh sebenarnya, mungkin sebab ia tidak spesifik. Ruangan solat wanita di bahagian bertentangan.

"Saya sudah menyemak peraturan terbabit dan memang orang awam dibenarkan menunaikan solat di masjid berkenaan.

"Cuma bahagian wanita berada di ruang lain. Mungkin anda tidak dibenarkan solat di ruang lelaki," tulis pengguna itu.

Bagaimanapun, ada pengguna yang menjelaskan dewan solat ditutup untuk orang awam, termasuk lelaki.

Situasi itu turut mencetuskan rasa tidak puas hati suami Daphne, Joe Lebosi.

"Jadi, orang awam tidak dibenarkan untuk solat? Kenapa bina masjid?" tulis Joe.



Daphne dan keluarganya berada di Dubai sejak seminggu lalu.

Daphne telah memeluk Islam sebelum mendirikan rumah tangga dengan Azmi Abdul Rahman (Joe) pada awal 2011.