Pelakon Gambit Saifullah teruja menantikan tayangan filem PASKAL The Movie yang bakal menemui peminat wayang tempatan bermula 27 September ini.

Menerusi filem ini, Gambit membawakan watak sebagai seorang anggota elit Pasukan Khas Laut (PASKAL), Tentera Laut Diraja Malaysia.

"Saya membawa watak sebagai Gagak, seorang anggota elit PASKAL. Saya menjadi seorang 'sniper' dan ia merupakan pengalaman baru bagi saya.

"Seronok kerana dapat bekerjasama dengan pengarah, Adrian Teh serta tenaga produksi filem PASKAL The Movie.

"Pelakon-pelakon lain juga memberikan banyak tunjuk ajar dan kerjasama yang baik dalam menjayakan filem ini.

"Saya teruja dan tak sabar menantikan tayangan filem ini dan berharap peminat dalam menyokong filem PASKAL The Movie," katanya.

Diadaptasikan dari kisah benar, PASKAL The Movie berkisarkan mengenai kisah kejayaan anggota elit Pasukan Khas Laut (PASKAL), Tentera Laut Diraja Malaysia dalam Misi Pengaman PBB di Angola pada 1998 dan misi merampas kapal dagang MT Bunga Laurel daripada lanun Somalia di Teluk Aden pada 2011.

Selain Gambit, filem itu dibintangi oleh Hairul Azreen, Ammar Alfian, Hafizul Kamal, Taufiq Hanafi, Theeban G, Henley Hii, Jasmine Suraya Chin dan ramai lagi.

Jangan lupa untuk menyaksikan filem ini yang bakal ditayangkan bermula 27 September ini!