Penyanyi Indonesia, Tegar atau nama sebenarnya, Tegar Septian, 16, bakal melancarkan single terbarunya di Malaysia dalam masa terdekat.

Menurut Tegar, single tersebut berjudul Tetaplah Di Hati dan ia ditulis berdasarkan pengalaman hidup yang dilalui.

"Single terbaru ini ditulis sepenuhnya oleh saya sendiri, ia berkisahkan tentang percintaan antara lelaki dari golongan keramaian dengan seorang wanita berada.

"Saya akui penceritaan lagu ini ditulis berdasarkan pengalaman yang saya pernah lalui, saya berharap lagu ini akan turut dikenali di Malaysia sebagaimana sambutan yang diterima untuk lagu Aku Yang Dulu Bukan Yang Sekarang pada tahun 2013," ujarnya.

Tegar ditemui di acara Jelajah Suria Dikecohkan Oleh Team Pagi Suria bertempat di Aeon Bukit Raja, Klang sebentar tadi.

Sebelum kemunculan single terbaru ini, Tegar telah melancarkan beberapa buah lagu namun tidak diperkenalkan dengan meluas kepada peminat di Malaysia.