Pengarah Tiada Kerja, FDAM Cari Jalan Lain

Hiburan
Pengarah Tiada Kerja, FDAM Cari Jalan Lain
Persatuan Sutradara Malaysia (FDAM) menyatakan mereka tidak boleh berbuat apa-apa untuk membantu ahli mereka yang berdepan masalah tiada kerja pada masa kini.
 
Biro Pembangunan FDAM, Ahmad Hashim berkata, persatuan itu mengetahui isu tersebut dan sedang menjalankan usaha untuk membantu ahli-ahli.
 
"FDAM sedia maklum hanya persatuan yang membantu hal ehwal kebajikan ahlinya tapi dari sudut ketiadaan tawaran kerja pengarahan, pihak persatuan tidak boleh berbuat apa apa kerana ini melibatkan syarikat produksi dan stesen TV," katanya kepada Astro Gempak.

Ahmad Hashim mengulas lanjut isu pengarah tiada kerja ketika ini yang mahu FDAM selaku persatuan membantu ahlinya. (Baca lagi: Ramai Pengarah Menganggur, FDAM Tiada Fungsi)
 
Jelasnya, apa yang menjadi isu pada persatuan adalah wujud ‘budaya’ di mana stesen TV mempunyai pengarah kegemaran mereka.
 
"Ini menyebabkan tiada peluang dan ruang pada pengarah lain untuk mendapatkan 'job' khususnya pada ahli FDAM yang berdaftar.
 
"Bagaimanapun, FDAM telah membuat beberapa perancangan bagi mendapatkan dana dari pihak Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) bagi membantu ahli agar dapat menjalankan penggambaran seperti filem pendek, dokumentari dan sebagainya," katanya.
 
Sambungnya, apa yang terjadi ketika ini adalah segala dana yang di pohon tidak kesampaian disebabkan peralihan kerajaan sekarang.
 
"FDAM akan mengumumkan peluang keemasan kepada ahli yang berdaftar atau aktif sebagai ahli bagi mendapatkan 'job' mengarah filem.
 
"Ini akan dilakukan dalam masa terdekat dan perkara ini turut mendapat kerjasama dengan syarikat swasta yang akan memasarkan karya tempatan ke luar negara," katanya.
 
Teks oleh: Elrafaei Sapi

Foto: Facebook @FDAMOFFICIAL
 

Artikel Berkaitan