"Aku pernah jadi jahat dulu sebelum jadi pelawak."

Itulah ungkapan tegas yang pernah diucapkan pelakon Sabri Yunus kepada mendiang Acappan dalam satu insiden hinggakan rakan pelawaknya yang berbangsa India itu terdiam seketika.

Meskipun pada awalnya ia memang diucapkan dalam keadaan marah sebagai respons kepada kata-kata sensitif daripada Acappan, namun situasi 'terdiam' itu tidak lama.

Sabri kemudiannya kembali mendapatkan Acappan, lantas berkata, "Aku pun boleh berlakon serius tau...", lantas kedua-duanya saling ketawa. Perasaan janggal dan 'tegang' itu serta-merta hilang.

Itu merupakan antara kisah yang tidak dapat dilupakan Sabri tentang pengalamannya bersama Acappan ketika mereka berlakon bersama pada satu ketika dahulu.

Bagi Sabri atau lebih dikenali sebagai Pok Ya menerusi lakonannya dalam telefilem Pok Ya Congcodei, dia sangat menghormati mendiang dan menyatakan bahawa mendiang merupakan seorang pelawak yang mampu mencipta satu fenomena pada ketika itu selain beberapa pelawak kaum India yang lain.

Tambahnya, dia sudah lama tidak bekerja dengan mendiang kerana mendiang sudah lama meninggalkan industri seni dan beliau juga memaklumkan bahawa mengetahui mendiang sakit cuma tidak percaya bahawa mendiang akan meninggalkan kita kerana komplikasi buah pinggang.

Acappan disahkan meninggal dunia oleh anaknya di sisi keluarganya kira-kira pukul 2.43 pagi Jumaat di sisi keluarganya di Taman Puchong Utama, akibat komplikasi buah pinggang.

Sumber: Astro Awani