Pelawak Atu Zero mengakui tidak kisah apabila ramai pihak yang mengkritik cara permainannya dalam program Super Spontan Xtravaganza (SSX).

Menurut Atu, sebagai seorang pelawak dia mempunyai cara tersendiri dalam menyampaikan jenaka kepada orang ramai.

"Saya tahu ramai juga yang mengatakan saya sering melakukan lawak syok sendiri.

"Namun itu merupakan cara saya untuk menghiburkan kerana bagi saya setiap pelawak harus ada gaya tersendiri dalam persembahan mereka.

"Kalau saya sering mengikut lawak yang dilakukan oleh orang lain mungkin penonton tidak akan tahu dan kenal saya.

"Saya tidak kisah juka orang ramai boleh terima atau tidak kerana itu merupakan hak mereka kerana saya mahu memberi kelainan dalam persembahan," katanya kepada Gempak.

SSX bersiaran secara langsung dari Universiti Pertanian Malaysia (UPM), Serdang pada setiap Jumaat, jam 10 malam di Astro Warna (saluran 132) dan Warna HD (saluran 124).

Bertemakan ‘tukang masak’, SSX membentuk dua kumpulan iaitu Sotong Kangkung yang membawa imej ‘tukang masak jalanan’ dan kumpulan Lobster Leleh mencerminkan imej ‘tukang masak di hotel’.

Buat julung kalinya juga program ini bakal menyaksikan pertukaran sistem pemarkahan iaitu 50 peratus daripada barisan juri dan 50 peratus lagi dari undian penonton.

Setiap kumpulan akan dikritik dan diniali oleh dua jri tetap iaitu Datuk Afdlin Shauki dan Adibah Noor serta bersama lagi seorang juri jemputan.

SSX turut boleh dinikmati melalui platform digital, Astro GO dan ‘on demand’.