Penyanyi yang sedang popular dengan nama jolokan Mr. Ragaman, Faizal Tahir, tidak kisah dikata poyo sepanjang menjadi juri Big Stage.

Faizal ketika ditemui baru-baru ini memberitahu, dia hanya menjalankan tanggung jawab sebagai juri.

“Saya juri poyo? Cakaplah apa pun, saya tak kisah atau ambil hati. Saya hanya menjalankan tugas.

“Mungkin kerana saya tegas ketika memberi komen dan dianggap poyo oleh sesetengah pihak, tak apa...Biasalah tu,” katanya ketika ditemui.

Tambah Faizal lagi dia juga tahu ada sesetengah pihak yang mempertikai markahnya kepada bintang Big Stage.

“Saya tahu ada yang cakap saya ni kedekut markah, tapi saya beri markah mengikut apa yang saya nampak dalam persembahan mereka.

“Bagi saya dalam apa jua pertandingan, para peserta tidak boleh melakukan sikit pun kesilapan kerana jika salah langkah, risikonya tersingkir.

“Jadi saya, penilaian saya adalah persembahan bukan seratus peratus pada vokal kerana saya tahu kesemua bintang sudah boleh menyanyi.

“Kami duduk di kerusi juri bukan buat kerja mudah, kami pikul tugas berat untuk mencari yang terbaik di antara yang terbaik,” katanya.

Selain Faizal, Datuk Seri Siti Nurhaliza turut memanaskan kerusi juri profesional bersama seorang juri jemputan untuk menilai bintang Big Stage setiap minggu.

Menjelang minggu separuh akhir Ahad ini, enam yang peserta bakal merebut tempat ke pentas akhir nanti ialah Syafiq Farhain, Baby Shima, Afieq Shazwan, Arif Bahran, Wanie Kayrie dan Sarah Suhairi.

Big Stage, program tajaan Vivo dan ditrendkan oleh TikTok ini bersiaran secara langsung dari Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), setiap Ahad jam 9 malam di Astro Ria (104) dan Ria HD (123).