Pelakon Farali Khan mengakui dirinya bukan seorang yang panas baran apabila seringkali berkongsi gambar ketika menjalani latihan sukan tinju di media sosial.

Menurut Farali, dia meminati sukan tinju sejak dulu lagi dan masih menjalani latihan hingga sekarang.

"Saya tidak anggap wanita yang menyertai aktiviti lasak seperti ini boleh dilabel panas baran atau suka cari gaduh.

"Sebenarnya saya sudah lama melibatkan diri dalam sukan tinju ini kerana ia dapat menguji mental serta membantu saya mengatasi sesuatu masalah.

"Tinju ini sebenarnya lebih kepada stimulasi mental yang mengajar seseorang tidak mudah berputus asa.

"Akibat minat yang mendalam dalam sukan ini saya pernah menyertai dua pertandingan tinju peringkat amatur di Jakarta sebelum ini," katanya kepada Gempak.

Farali berkata demikian ketika ditemui pada majlis sidang media pelancaran filem Kalla di Wow KL, baru-baru ini.

Filem Kalla akan menemui penonton di pawagam pada 11 Oktober nanti.