Pelawak Shuib Sepahtu mendedahkan sudah enam tahun dia terjun ke dalam bidang perniagaan.

Menurut Shuib, sebelum ini perniagaan yang dilakukannya tidak kesemuanya berjaya mencapai tahap yang diingini.

"Saya sudah berada di dalam industri ini sudah 10 tahun tetapi enam tahun yang lepas saya sudah mula memulakan perniagaan sendiri.

"Namun, perniagaan itu tidak menjadi, ada yang rugi dan ada yang membuatkan saya sedih.

"Selepas itu, saya berdoa memohon petunjuk menginginkan sebuah perniagaan yang berjaya," katanya.

Shuib ditemui di majlis Bee Factory Award Night di Ampang Glasshouse, semalam.

Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhamad berkata, doanya termakbul dan dihantar melalui isterinya, Siti Sarah.

"Sarah mendapat panggilan telefon daripada rakan kongsi saya sekarang ini, Nor Asikin Ismail yang menginginkannya menjadi duta untuk madu.

"Jadi dari situ, saya terfikir ini perniagaan yang belum lagi dikomersialkan sedangkan semua orang tahu pasal madu.

"Selepas saya menelefon Sikin dan berbincang, saya membuat keputusan tidak ingin menjadi duta serta mengajak seorang lagi kawan saya, Badrul Hisham Sharif untuk menjadi rakan kongsi.

"Saya inginkan madu itu menjadi produk kita bersama," katanya kepada Gempak.