Pengacara dan pelakon, Syamim Farid menceritakan pengalamannya membawa watak sebagai seorang penyanyi dalam drama bersiri Cinta Tiada Ganti.

Menurut Syamim, itu merupakan satu cabaran untuk dirinya dalam melakonkan watak tersebut.

"Di dalam drama Cinta Tiada Ganti, sebenarnya saya seorang penyanyi. Jadi, saya harus membawakan watak sebagai seorang penyanyi

"Itu menjadi satu cabaran kepada diri ini kerana saya bukan penyanyi. Saya perlu menyanyi di atas pentas tetapi syukur semua berjalan dengan lancar," katanya.

Syamim ditemui usai program Super Spontan Xtravaganza (SSX) di Universiti Pertanian Malaysia (UPM), semalam.

Tambah Syamim, sepanjang tujuh bulan menjalani penggambaran bersama, dia tidak mempunyai masalah dengan pelakon mahupun krew produksi.

"Walaupun menjalani penggambaran agak lama, kami tidak mempunyai sebarang masalah.

"Pelakon, krew produksi dan pengarah semua memberi komitmen dalam menjayakan drama bersiri ini," katanya kepada Gempak.

Cinta Tiada Ganti merupakan adaptasi dari drama popular Filipina bertajuk Sana'y Wala Nang Wakas.

Drama bersiri Cinta Tiada Ganti ini arahan Feroz Kadir itu, Syamim memegang watak sebagai Shane.

Selain Shamim, pelakon lain yang turut menjayakan drama tersebut adalah Nelydia Senrose, Aedy Ashraf, Hafidz Roshdi, Ben Amir, Sweet Qismina dan ramai lagi.