Pelawak Tauke Jambu mengakui dia sudah menjangkakan bahawa dirinya akan tersingkir pada minggu kelapan program Super Spontan Xtravaganza (SSX).

Menurut Tauke, dia menerima dengan reda penyingkirannya kerana sebelum ini, dia sudah pernah mengalami perasaan yang sama di pertandingan lain.

"Saya sudah merasakan yang malam ini saya akan tersingkir. SSX memang konsepnya kawan sendiri yang akan menyingkirkan diri kita.

"Walaupun saya yang tersingkir, perasaan saya masih dalam keadaan baik kerana sebelum ini pernah berada di dalam situasi seperti ini.

"Saya terima dengan hati terbuka keputusan pada malam ini," katanya kepada Gempak.

SSX bersiaran secara langsung dari Universiti Pertanian Malaysia (UPM), Serdang pada setiap Jumaat, jam 10 malam di Astro Warna (saluran 132) dan Warna HD (saluran 124).

Bertemakan 'tukang masak', SSX membentuk dua kumpulan iaitu Sotong Kangkung yang membawa imej 'tukang masak jalanan' dan kumpulan Lobster Leleh mencerminkan imej 'tukang masak di hotel'.

Buat julung kalinya juga program ini bakal menyaksikan pertukaran sistem pemarkahan iaitu 50 peratus daripada barisan juri dan 50 peratus lagi dari undian penonton.

Setiap kumpulan akan dikritik dan dinilai oleh dua juri tetap iaitu Datuk Afdlin Shauki dan Adibah Noor serta bersama lagi seorang juri jemputan.

SSX turut boleh dinikmati melalui platform digital, Astro GO dan 'on demand'.