Bintang filem Hantu Kak Limah (HKL), Ropie mengakui watak Nayan dalam filem terbabit meninggalkan impak positif untuk dirinya.

"Alahmdulillah, saya sendiri tak sangka watak terbabit memberikan impak positif dalam kerjaya saya sebagai pelakon dan pelawak.

"Buat masa ini, jadual saya boleh dikatakan padat sehingga ke hujung tahun. Ada yang memberi tawaran secara janji mulut, ada juga yang sudah saya persetujui.

"Saya banyak menerima tawaran untuk berlakon, terutamanya iklan. Saya bersyukur kerana di usia 51 tahun, rezeki saya murah. Saya akan cuba melakukan apa yang termampu," kata Ropie.

Sehingga 2 September, HKL berjaya meraih kutipan sebanyak RM35 juta dan menerima lebih 2.7 juta kunjungan penonton di pawagam.

Tambah Ropie atau nama sebenarnya, Zahid Tajuddin, dia juga gembira ada peminat memanggilnya dengan nama Nayan.

"Semenjak kecil, saya menjadikan Imuda sebagai idola. Watak Imuda sangat berkesan dan ramai orang memanggilnya dengan nama Budin, karakter Imuda dalam Pi Mai Pi Mai Tang Tu.

"Saya mahu menjadi seperti Imuda dan Alhamdulillah, selepas HKL muncul, ramai yang memanggil saya dengan nama Nayan," katanya ketika ditemui di Malam Together-Gether HKL di Berjaya Times Square Hotel baru-baru ini.

Malam Together-Gether HKL bertujuan meraikan kejayaan filem terbabit yang mendapat respon positif penonton.

Selebriti terkenal Hong Kong, Andy Lau turut hadir ke majlis tersebut bagi meraikan pelakon serta tenaga produksi HKL.

Andy merupakan salah seorang pengasas syarikat gergasi antarabangsa, Infinitus Entertainment Group selaku penaung Infinitus Gold yang pertama kali bekerjasama dengan Astro Shaw untuk menerbitkan HKL.