Penyanyi remaja yang sedang meningkat naik, Haqiem Rusli menjelaskan kisah peribadinya banyak diceritakan dalam lagu-lagunya sebelum ini.

Menurut Haqiem, pengalaman dan kisah cintanya banyak terkandung dalam lagu Tergantung Sepi dan Jatuh Bangun.

"Sebenarnya lagu-lagu saya sebelum ini boleh dikatakan 'related' dari segi penceritaan kerana kebanyakannya dihasilkan berdasarkan kisah cinta yang saya pernah alami sendiri.

"Antara lagu yang saya maksudkan adalah Tergantung Sepi dan Jatuh Bangun, kalau ditelitikan liriknya, kisahnya mempunyai kaitan dan menceritakan kisah hidup saya," ujarnya.

Haqiem ditemui di Kempen Johara Tour bertempat di Mydin Bukit Mertajam, Pulau Pinang pada Sabtu lepas.

Dalam perkembangan lain, Haqiem sedang sibuk mempromosikan album terbaru yang berjudul Segalanya, antara lagu yang dimuatkan dalam album ini adalah Segalanya, Tergantung Sepi, Jatuh Bangun dan banyak lagi.