Pelakon Jue Aziz tidak terkilan apabila usahanya untuk mendapatkan zuriat sendiri tidak membuahkan hasil.

Kata Jue atau nama sebenarnya Zuliana Abdul Aziz, 35, dia menyerahkan segala perancangan tentang rezeki kepada Allah.

"Kehidupan peribadi bersama keluarga Alhamdulillah. Banyak cara saya sudah cuba untuk mendapatkan zuria tetapi belum sampai masanya lagi.

"Kalau dulu saya beriya-iya usaha untuk mendapatkan anak tetapi sampai satu tahap saya relaks dahulu.

"Sebab saya percaya perancangan Allah, mungkin belum sampai masanya lagi. Kalau ada rezeki, adalah. Berserah saja," katanya kepada Gempak.

Jue yang ditemui pada Malam Together-Gether Hantu Kak Limah di Berjaya Times Square Hotel baru-baru ini memberitahu dia telah membuat pemeriksaan kesihatan dan kesuburan sebelum ini.

"Setakat ini saya tiada masalah untuk hamil.

"Mungkin kerana tekanan kerja dan bisnes memandangkan semuanya saya usahakan sendiri," tambahnya.

Jue berkahwin dengan pemuzik dari Indonesia, Bayu Pramana Putra Achmad Daniel Thandian pada 9 Mac 2014.

Dalam perkembangan lain Jue bakal membintangi filem amal berdialek Kelantan berjudul Meigho.