Pelakon Remy Ishak melahirkan rasa syukur dengan kutipan filem-filem tempatan yang mendapat tempat di hati peminat.

Menerusi entri di Instagram (IG), Remy mengakui masyarakat kini lebih suka untuk menyaksikan filem-filem yang dekat dengan kehidupan mereka.

"Bila ditanya tentang kutipan filem ‘PULANG’ berbanding filem ‘HANTU KAK LIMAH’ yang mencapai kutipan yang amat memberangsangkan, jawapan saya amat mudah.

"Penonton filem di Malaysia lebih suka menonton filem-filem yang lebih relate or dekat dengan mereka. Tak kira yang santai penuh gelak ketawa seperti Hantu Kak Limah atau yang seram bermesej seperti Munafik-2.

"Mungkin filem ‘pulang’ banyak mengandungi penceritaan merentasi zaman yang memerlukan fokus yang lebih. Saya percaya selera setiap orang terhadap filem berubah-ubah dari satu masa ke satu masa yang lain.

"Adakala kita mahu sesuatu yang ringan, adakalanya pula kita mahukan sesuatu yg boleh membuatkan kita berfikir tentang isi cerita dan mesej yang cuba disampaikan oleh pembikin didalam sesebuah filem.

"Semoga filem Malaysia akan terus mencipta kejayaan. Jutaan terima kasih kepada semua rakyat Malaysia atas sokongan tanpa henti dari kalian semua terhadap perfileman Malaysia, teruskan menyokong," katanya.

Filem HKL yang diarahkan Mamat Khalid itu mendapat kutipan sebanyak RM32.5 juta dalam masa 18 hari ditayangkan.

Manakala, filem gandingannya bersama Puteri Aishah itu berjaya mengutip sebanyak RM1 juta dalam masa seminggu.