Ratu dangdut, Amelina atau nama sebenarnya, Norazlina Amir Sharipudin, 44, mendedahkan ciri-ciri lelaki yang boleh dijadikan calon suaminya.

Menurut Amelina, dia mahukan seseorang yang tidak menghalang kerjayanya sebagai seorang penyanyi.

"Bila bercakap tentang ciri-ciri lelaki yang boleh dijadikan calon suami, sudah tentu saya mahukan seorang yang betul-betul mencintai diri saya.

"Bukan setakat itu, dia haruslah tidak menghalang karier saya sebagai seorang penyanyi. Biar masing-masing ada sumber pendapatan, duit kau lain duit aku lain," selorohnya sambil tertawa.

Sah bercerai dengan bekas suaminya pada penghujung tahun 2016, pelantun lagu Secangkir Madu Merah ini juga mahukan jodoh yang ikhlas menerima kehadiran enam orang anaknya yang berusia lapan hingga 16 tahun dengan baik.

"Selain itu, lelaki itu harus menerima dan menyayangi enam orang anak saya dengan ikhlas.

"Saya tidak mahu seseorang yang hanya menyayangi diri saya sahaja kerana anak-anak merupakan nadi kehidupan saya," ujarnya.

Amelina ditemui di majlis Sidang Media Konsert Fenomena D'Pop bertempat di KACH'e Wedding & Event Space, Shah Alam pada petang semalam.

Selain Amelina, konsert yang akan berlangsung pada 28 September ini turut menampilkan persembahan dari Datuk Jamal Abdillah, Datuk Nasir Wahab, Rohana Jalil, Zureda, Haiza, Siti Nordiana, Zamani dan Datuk M Daud Kilau.

Untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai konsert ini, sila hubungi talian 019-397 7830.