Siapa sangka, kejayaan filem Hantu Kak Limah membuka hati selebriti terkenal Hong Kong, Andy Lau untuk turun ke Kuala Lumpur untuk meraikan bersama-sama malam tadi.

Andy, 57, merupakan salah seorang pengasas syarikat gergasi antarabangsa, Infinitus Entertainment Group selaku penaung Infinitus Gold yang pertama kali bekerjasama dengan Astro Shaw untuk menerbitkan Hantu Kak Limah.

"Tahniah Hantu Kak Limah, ia merupakan satu kejayaan besar buat semua," ucapnya ringkas.

Hantu Kak Limah semakin menghampiri kutipan RM40 juta sejak 28 hari tayangan. Terkini filem sekuel itu telah berjaya mengutip RM36 juta.

Hadir sama pada majlis makan malam yang bertempat di Hotel Berjaya Times Square Kuala Lumpur malam tadi barisan pelakon Hantu Kak Limah dan pengarahnya, Mamat Khalid.

Selain itu, pengasas bersama Infinitus Gold, Datuk Seri Robin Tan dan eksekutif produser Hantu Kak Limah, T.P. Lim turut hadir memberikan sokongan.

Lebih manis sebenarnya apabila Andy turut menyampaikan bonus buat tenaga produksi termasuk kru dan pelakon yang telah bertungkus-lumus melakar sejarah filem Hantu Kak Limah.

Jutaan tahniah diucapkan kepada tenaga kreatif Hantu Kak Limah yang merealisasikan mimpi indah ini.

Foto: @khai_salleh, @rojakdailykaw