Pengacara dan pelakon Yatt Hamzah atau nama sebenarnya Haryati Hamzah, 36, mendedahkan jadual hariannya agak sibuk di bulan Ramadan.

Yatt kini sedang hamil empat bulan hasil perkahwinan keduanya pada Februari lalu dengan seorang juruvideo, Mohammad Zulfadhli Khiruddin, 26.

“Seperti tahun-tahun sebelumnya, saya memang membataskan aktiviti seni kerana mahu memberikan fokus terhadap bulan Ramadan. Saya cuba untuk mempertingkatkan amal ibadah dan saya mahu mengejar kebaikan Ramadan kerana ianya penghulu segala bulan.

“Selain itu, saya turut sibuk menguruskan perniagaan, Succi by Yatt Hamzah. Kesihatan saya juga kadang-kadang tidak mengizinkan kerana kehamilan kedua ini. Saya merupakan seorang wanita yang aktif, tetapi tahun ini kehamilan membataskan sedikit pergerakan saya.

“Walaupun sibuk, saya tidaklah aktif ke sana sini, berlari-lari, naik turun tangga seperti dulu kerana saya ingin menjaga kandungan,” kata Yatt kepada Astro Gempak.

Pertama kali menyambut Ramadan sebagai isteri kepada Mohammad Zulfadhli, Yatt bersyukur kerana suaminya seorang yang sangat ringkas.

“Suami saya seorang yang sederhana. Dia suka makan masakan saya dan tidak kisah dengan juadah berbuka. Tahun ini saya bakal menyambut Syawal di kampong halaman suami yang terletak di Pengjkalan Chepa, Kelantan,” katanya yang ditemui di majlis Himpunan Artis Sayang Al-Quran (HASA) pada Isnin.

Bertindak sebagai salah seorang ahli jawatankuasa bagi penganjuran HASA, Yatt bersama ahli Usrah Fitrah menjemput ramai rakan artis untuk mengimarahkan majlis yang telah berlangsung di Menara Felda, Persiaran KLCC.

“Ini adalah penganjuran pertama HASA dan ia diadakan sempena kehadiran bulan Ramadan. HASA merupakan sebuah acara yang menghimpunkan ramai artis dan penggiat seni yang telah #berikanmasa untuk sama-sama mengangkat Al-Quran.

“Kebanyakan artis mempunyai pengaruh yang besar di media sosial dan kehadiran mereka di HASA diharapkan mampu untuk memberikan impak positif kepada diri sendiri dan pengikut mereka di media sosial mengenai kebaikan kitab suci Al-Quran,” katanya.