Penyanyi dan pelakon Izzue Islam mengakui masih perlu banyak belajar dalam bidang komedi selepas menyertai program Super Spontan Xtravaganza (SSX).

Menurut Izzue, dia tidak mahu melepaskan peluang untuk kembangkan bakatnya dalam bidang komedi dan tidak menjangka masih bertahan di SSX sehingga sekarang.

"Program ini merupakan ruang dan peluang untuk saya kembangkan bakat kerana kalau saya tidak mencuba sekarang bila lagi.

"Sekurang-kurangnya saya mencuba untuk ceburikan diri dalam bidang spontan ini dan dalam masa yang sama belajar dengan peserta lain dalam SSX.

"Sejujurnya untuk SSX ini saya tidak meletakan harapan yang terlalu tinggi kerana saya masih perlu banyak belajar lagi," katanya kepada Gempak.

SSX bersiaran secara langsung dari Universiti Pertanian Malaysia (UPM), Serdang pada setiap Jumaat, jam 10 malam di Astro Warna (saluran 132) dan Warna HD (saluran 124).

Bertemakan ‘tukang masak’, SSX membentuk dua kumpulan iaitu Sotong Kangkung yang membawa imej ‘tukang masak jalanan’ dan kumpulan Lobster Leleh mencerminkan imej ‘tukang masak di hotel’.

Buat julung kalinya juga program ini bakal menyaksikan pertukaran sistem pemarkahan iaitu 50 peratus daripada barisan juri dan 50 peratus lagi dari undian penonton.

Setiap kumpulan akan dikritik dan diniali oleh dua jri tetap iaitu Datuk Afdlin Shauki dan Adibah Noor serta bersama lagi seorang juri jemputan.

SSX turut boleh dinikmati melalui platform digital, Astro GO dan ‘on demand’.