"Amalina... Amalina... Aku suka kamu kerna kau manja, aku suka kamu kerna kau mulia..." begitulah bait-bait lirik lagu Amalina yang sedang tular di laman sosial.

Menampilkan kelainan tersendiri, lagu ini disampaikan oleh seorang penyanyi berbangsa India, Santesh dan mendapat respon positif pendengar.

Lagu Amalina mengisahkan mengenai cinta antara dua individu yang berbeza bangsa dan agama.

Mula dimuat naik di laman YouTube pada 27 Ogos lalu, lagu ini telah meraih 1.7 juta tontonan serta menduduki tangga pertama carta trending YouTube.

Namun begitu, siapakah gerangan individu disebalik nama Santesh? Gempak sempat menemubual Santesh dan penyanyi itu berkongsi lima perkara menarik mengenai dirinya.

1. Santesh berasal dari Klang, Selangor dan berusia 29 tahun.

2. Mula menyertai persembahan pentas seawal usia 7 tahun, jejaka ini sudah lama melibatkan diri dalam bidang seni.

3. Santesh serius dalam bidang muzik semenjak tahun 2011 dan mula merakamkan lagu pada tahun tersebut. Santesh mempunyai 5 album Tamil.

4. Sudah tiga tahun berkahwin, Santesh belum mempunyai cahaya mata dan merancang untuk mendapatkan anak pada tahun hadapan.

5. Santesh memang menyimpan impian untuk menembusi pasaran lagu berbahasa Melayu dan dia tidak sangka percubaan sulungnya menerusi lagu Amalina membuahkan hasil.

Jom kita layan lagu Amalina terbitan Padu Records dan MVM Production yang sedang hangat bak goreng pisang panas ini!