Bekas penyanyi kumpulan Elite, Abby Abadi mengakui kagum dengan pengarah Syamsul Yusof selepas menonton filem Munafik 2.

Menurut entri di Instagram (IG), Abby mengakui dunia hiburan kini sudah banyak berubah dalam memertabatkan agama Islam.

"Hampir enam tahun saya mengasingkan diri dari dunia hiburan sebab takut makin jauh dari Islam.

"Tetapi bila menonton Munafik 2, dapat rasakan dunia seni sudah ada ruang dan wakil untuk perjuangan Islam.

"Memang terbaikk. Teruskan. Skrip mantap. Barisan pelakon tak mengecewakan. Tak sia-sia Danish mengidolakan Awak.

"Semoga hidayah petunjuk Allah milik kita bersama. Banyak lagi Akak nak tulis sebenarnya tapi tah, tak tertulis sebab hebat nauuu hehe.. Semua bintang dilangit nilai untuk filem ini," tulisnya.

Munafik 2 tetap mendapat sentuhan pengarah tersohor Syamsul Yusof dan merupakan kesinambungan daripada filem Munafik yang ditayangkan pada 2016.

Dibintangi oleh Syamsul sendiri sebagai Ustaz Adam, Fizz Fairuz, Maya Karin, Nasir Bilal Khan, Fauzi Nawawi, Mawi, Rahim Razali dan pelakon Indonesia, Weni Panca, Munafik 2 mengisahkan tentang perjuangan Ustaz Adam yang berhadapan dengan kultus ajaran sesat yang diketuai oleh Abu Jar dan menyelamatkan seorang ibu tunggal dari kejahatan Abu Jar.

Filem seram ini dijadualkan menggegar pawagam seluruh negara pada 30 Ogos 2018 (hari ini).