Penyanyi Tajul atau nama sebenarnya atau nama sebenarnya Tajul Ariff Noor Md Shari, 20, menjadi peserta keempat yang tersingkir di konsert minggu kelima Big Stage yang berlangsung malam tadi.

Menurut Tajul yang telah menyanyikan lagu Sulit nyanyian asal Aman Aziz, dia berpuas hati dengan persembahannya pada malam itu.

"Alhamdulillah saya berpuas hati dengan persembahan malam ini kerana telah melakukan yang terbaik.

"Namun, ada yang lebih baik dan layak daripada saya.

"Saya sudah merasakan yang malam ini akan tersingkir," kata Tajul.

Tambah Tajul, bukan gelaran juara yang dikejar ketika dia membuat keputusan untuk memasuki pertandingan nyanyian ini.

"Dari awal saya memasuki pertandingan Big Stage, saya sudah beritahu bukan gelaran juara yang saya kejar, tetapi pengalaman yang saya ingin dikumpul.

"Saya belum pernah memasuki mana-mana pertandingan sebelum ini, jadi saya ingin mencari kelemahan pada diri ini," katanya kepada Gempak.

Tajul ditemui usai program realiti Big Stage di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Pada konsert minggu kelima, juri tetap Faizal Tahir telah menentukan battle di antara kesemua peserta untuk persaingan di minggu hadapan.

Dalam segmen battle, kumpulan pertama terdiri daripada Sarah Suhairi vs Ariff Bahran, kumpulan kedua ialah Syafiq Farhain vs Baby Shima dan kumpulan 3 menyaksikan persaingan antara Afieq Shazwan vs Wani Kayrie.

Jangan lepaskan peluang untuk terus menyaksikan pertarungan 6 bintang muda dalam rancangan realiti baharu Big Stage.

Hanya enam bintang yang masih kekal di Big Stage iaitu Sarah Suhairi, Ariff Bahran, Afieq Shazwan, Syafiq Farhain, Baby Shima dan Wani Kayrie.

Rancangan yang ditaja oleh Vivo dan ditrendkan oleh TikTok ini akan disiarkan setiap Ahad jam 9 malam di Astro Ria (104) dan Ria HD (123).

Big Stage turut boleh dinikmati melalui platform digital, Astro GO dan 'on demand'.

Layari laman web www.bigstage.com.my untuk segala informasi mengenai program ini!