Hos program MeleTop, Nabil Ahmad memberitahu pagi rayanya tidak lengkap tanpa kuah kacang dan lontong sehingga isterinya, Nazira Ayub terpaksa belajar memasak dua hidangan tersebut.

Nabil ketika ditemui Astro Gempak berkata, sudah menjadi kebiasaan sejak kecil dia akan mencari kuah kacang dan lontong pada pagi raya.

“Bagi saya, pagi raya itu tak ‘best’ kalau tak ada kuah kacang dan lontong. Selepas berkahwin pun, saya memang akan ke rumah ibu untuk makan dua ‘benda’ ni.

“Setiap tahun saya akan ajak isteri pulang ke rumah ibu saya untuk makan lontong dan kuah kacang dan akhirnya dia ambil inisiatif untuk belajar memasak makanan kegemaran saya itu dengan ibu.

“Kesungguhan isteri saya untuk belajar menyediakan makanan kegemaran saya, buat saya gembira dalam masa yang sama tersentuh dengan usahanya itu.

“Paling ‘best’ kuah kacang dan lontong yang isteri saya buat, rasanya sama dengan ibu. Sedap!,” katanya ketawa.

Mengulas mengenai persiapan Aidilfitrinya dan keluarga, Nabil berkata dia lebih selesa bersederhana seperti tahun-tahun sebelum ini.

“Selalunya saya akan ulang pakai baju melayu lama sebab masa sembahyang raya saya pakai jubah. Baju melayu selalunya untuk menziarah, jadi apa yang ada pakai sajalah.

“Perhiasan dan perabot rumah pun ‘maintain’ sahaja yang sedia ada sebab saya rasa tak perlulah tukar perabot, langsir, cat baru lepas tu balik kampung.

“Berbelanja mengikut keperluan dan kemampuan kerana selepas raya lagi banyak duit nak kena pakai,” katanya.

Nabil dan keluarganya kini berada di Mekah mengerjakan umrah bersama Astro Oasis untuk program Perjalanan Haji Nabil Ke Mekah.