Penyanyi Sufian Suhaimi mengakui dia tidak bermusuhan dengan bekas tunangnya, aktres Elfira Loy biarpun selepas ikatan pertunangan mereka putus.

Menurut Sufian, apa saja yang dilakukan oleh Elfira bukan lagi menjadi kepentingan buat dirinya.

"Saya anggap kami masih berkawan, cuma tidak ada sebab untuk kami saling berhubung.

"Bukan maksud kami bermusuhan, tetapi masing-masing sudah 'move on' antara satu sama lain.

"Bagi saya apa saja yang dilakukan oleh dia, sudah tidak ada kepentingan bagi saya untuk mengambil tahu.

"Cukuplah jika kami mendoakan kebahagiaan masing-masing. Saya mendoakan kebahagiaannya," ujar Sufian.

Tambah penyanyi lagu Di Matamu ini, dia sama sekali tidak mengetahui khabar mengenai Elfira yang difahamkan telah bertunang dengan seorang pengurus besar, Muhamad Faris Khairol Anuar.

BACA: Kenal Beberapa Bulan, Elfira Loy Selamat Bertunang Dengan Anak Datuk?

"Saya tidak tahu sehingga dimaklumkan oleh media. Saya tidaklah sedih, tertekan atau terkejut apabila mengetahui mengenai perkara terbabit.

"Selepas kami putus tunang, saya sudah tidak mengikutinya mahupun ahli keluarganya di laman sosial. Saya juga tidak mengenali jejaka tersebut," katanya kepada Gempak ketika ditemui usai konsert kelima Big Stage malam tadi.

Tambah penyanyi yang mula dikenali dengan lagu Terakhir ini, sekarang merupakan masa yang tepat untuk dirinya berhijrah dari Malaysia dan melebarkan sayap ke Indonesia.

"Semua penyanyi mesti ada mempunyai harapan untuk mengintai pasaran negara seberang. Sebelum semua perkara ini terjadi pun, saya sudah lama menanam impian itu.

"Melihatkan apa berlaku sekarang, saya rasa melebarkan sayap ke Indonesia adalah perkara yang tepat untuk dilakukan buat masa ini, bagi mengembangkan lagi bakat saya.

"Keputusan ini bukan saja untuk 'meratapi perasaan' tetapi dijadikan sebagai satu platform untuk menjadi manusia lebih berjaya," katanya.

Sebelum ini, Sufian pernah bertunang dengan Elfira pada 6 Oktober 2017 namun berakhir pada 18 Februari lalu.