Pengacara dan pelawak, Datuk AC Mizal cabar diri untuk membuka perniagaan makanan bersama rakan kongsinya untuk menyajikan makanan yang berasal dari Arab dan Itali.

AC Mizal atau nama sebenarnya Mizal Zaini, 46, berkata ini pertama kali dia membuka perniagaan makanan selepas tertarik dengan konsep penyediaan makanan syarikat Pollo Mendi tersebut yang tidak memerlukan chef atau tukang masak di restoran.

“Saya memang seorang yang berjiwa usahawan, jadi apabila ada yang menawarkan saya untuk menjadi rakan kongsinya untuk perniagaan makanan ini saya tidak menolaknya.

“Saya tertarik dengan konsepnya kerana ia tidak memerlukan chef atau tukang masak untuk menyediakan makanan yang ditempah oleh pelanggan yang datang.

“Restoran atau food truck Pollo Mendi ini semuanya dibekalkan makanannya dalam bentuk sejuk beku tetapi dalam masa yang sama menjaga kesegaran dan kualiti makanan.

“Mereka menggunakan teknologi dari Jepun untuk penyejukan makanan supaya kualitinya terjaga dan berkhasiat,” katanya kepada Gempak.

AC Mizal ditemui bersama rakan kongsinya, Mohd Fadzil ketika pelancaran restoran pertama Pollo Mendi di Subang Jaya baru-baru ini.

Pollo Mendi bukan sahaja restoran malah syarikat penyediaan makanan ‘fine cuisine’ yang dibekalkan sepenuhnya oleh ‘Central Kitchen’.

Syarikat tersebut akan membuka untuk perniagaan franchise kepada peniaga untuk membuka cawangan mereka sendiri.

Keunikannya, pemilik perniagaan boleh memilih untuk tidak terlibat dalam urusuan harian. Ia akan ditadbir oleh pengurusan korporat Polo Mendi sendiri.