Selepas menggegarkan Indonesia, filem Sebelum Iblis Menjemput bakal menghantui seluruh pawagam di Malaysia mulai 20 September ini.

Sebelum Iblis Menjemput merupakan filem seram yang berjaya melepasi 1 juta penonton selepas tiga minggu ditayangkan.

Filem garapan sutradara terkenal, Timo Tjahjanto itu dibarisi pelakon utama Chelsea Islan dan Pevita Pearce

Sebelum Iblis Menjemput diklasifikasi amat seram apabila fizikal hantu yang dipaparkan sangat mengerikan dengan keberkesanan lakonan pelakon lainvseperti Samo Rafael, Karina Suwandi, Ruth Marini dan Ray Sahetapy.

Adegan seram yang dipertontonkan bakal membuai mental peminat menerusi aksi suspen yang mencengkam satu demi satu sepanjang filem tersebut ditayangkan di layar lebar.

Lakonan pelakon utamanya Chelsea yang memegang watak Alfie sangat natural dan mencabar. Pelbagai adegan yang perlu dilakukannya termasuklah beraksi di liang lahad bersama tengkorak manusia dalam keadaan hujan. Bahkan, kerja keras Pevita Pearce (Maya) sehingga harus bermandi lumpur di hutan dalam cuaca sejuk juga wajar dipuji.

Menerusi Sebelum Iblis Menjemput, Chelsea mahupun Pevita ingin membuktikan bahawa filem seram ini juga memerlukan kualiti tinggi berserta komitmen sepenuhnya sebagai pelakon.

Sebelum Iblis Menjemput yang diedarkan oleh Ideate Media untuk pasaran Malaysia akan menganjurkan malam gala di Kuala Lumpur pada 13 September ini yang dihadiri oleh pengarahnya, Timo serta Chelsea dan Pevita dengan SukaSucre Creatives sebagai agensi promosi serta publisiti di negara ini.

Saat Sebelum Iblis Menjemput yang diumum memasuki pawagam di Malaysia, pada waktu yang sama filem ini menerima perkhabaran gembira apabila diundang sempena L’Etrange Festival Paris 2018 sekali gus menebar pengaruhnya ke seluruh Eropah.

Diberikan judul antarabangsa; May The Devil Take You, filem ini terpilih berdasarkan penilaian panitia penyelenggara bersama 21 buah filem lain di serata dunia dalam kategori Feature Length Competition. Tidak ketinggalan, ia turut bersaing dalam nominasi Public Choice Award sepanjang 5 hingga 16 September ini berlangsung festival tersebut.

Lebih membanggakan, filem ini juga dipilih untuk tayangan rasmi di Austin, Texas sempena Fantastic Fest 2018 yang akan berlangsung dari 20 hingga 27 September ini dan juga di BFI London Film Festival pada Oktober 2018.