Pelakon dan pengacara, Datuk Rosyam Nor menegaskan bahawa produk berasaskan durian belanda keluarannya yang diberi nama Adraa bukan produk anti kanser.

Menurut Rosyam, dia bersetuju dengan tindakan doktor yang telah mengeluarkan kenyataan menafikan dakwaan jus durian belanda mampu merawat kanser.

"Saya mengeluarkan produk berasaskan durian belanda yang mempunyai antioksida yang tinggi bukan anti kanser.

"Bagi saya tidak salah apabila ada doktor memperjelaskan bahawa jus durian belanda tidak boleh mencegah kanser.

"Pengeluar produk tidak boleh mendakwa produk berasaskan durian belanda adalah anti kanser kerana tiada penyelidikan saintifik yang telah dilakukan.

"Produk saya hanya merupakan pemakanan tambahan untuk membantu meningkatkan kualiti hidup pengguna di samping rawatan sedia ada,"ujarnya.

Rosyam ditemui di majlis pelancaran Produk Adraa di Royale Chulan Damansara hari ini.

Pemilik nama sebenar Mohamed Noor Shamsuddin, 51, berkata produk Adraa merupakan hadiah buat para peminat yang selama ini telah menyokong kerjayanya.

"Ini merupakan hadiah saya buat para peminat yang selama ini menyokong kerjaya saya.

"Dengan kasih sayang dan sokongan peminat, saya sentiasa berusaha untuk mencapai pertumbuhan berterusan untuk memenangi reputasi sebagai sumber herbal yang terkemuka di Malaysia," katanya kepada Gempak.