Pelakon dan pengarah Datuk Farid Kamil Zahari tidak dapat hadir ke Mahkamah Majistret pada Isnin bagi sebutan semula kes lima pertuduhan jenayah yang dihadapinya kerana menjalani pembedahan lutut.

Peguam Faizul Mohd Nasir yang mewakili pelakon itu memaklumkan kepada mahkamah bahawa anak guamnya menjalani pembedahan tersebut di Hospital Tuanku Jaafar, Seremban, Isnin.

Bagaimanapun, tiada sebarang laporan perubatan atau sijil cuti sakit dikemukakan kepada pihak mahkamah.

Timbalan Pendakwa Raya Mohamed Firdaous Mohamad Idris kemudian memohon waran tangkap dikeluarkan terhadap Farid Kamil sekiranya laporan perubatan dan sijil cuti sakit gagal dikemukakan.

Majistret Nor Ariffin Hisham bagaimanapun tidak membenarkan pihak permohonan pendakwaan agar tidak dikeluarkan waran tangkap dan menetapkan 7 September bagi sebutan semula kes pelakon itu.

"Sepatutnya, tiada keistimewaan diberikan terhadap tertuduh. Dia seharusnya mengemukakan laporan perubatan dan sijil sakit sepertimana yang lain sekiranya tidak dapat hadir", kata Nor Ariffin.

Faizul memohon waran tangkap tidak dikeluarkan terhadap anak guamnya atas alasan dia sendiri telah memaklumkan kepada pihak mahkamah mengenai ketidakhadiran anak guamnya.

"Saya mohon pihak mahkamah memberikan peluang kepada anak guam saya untuk menyerahkan sijil sakitnya namun sekiranya dia gagal, terpulanglah kepada budi bicara pihak mahkamah", kata peguam itu.

Sebelum ini, mahkamah menetapkan lima hari bermula 27 November hingga 14 Disember depan bagi perbicaraan kes dihadapi pelakon itu dengan sekurang-kurangnya tujuh saksi pendakwaan akan dipanggil untuk memberi keterangan.

Pada 16 Jan lepas, Farid Kamil mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan iaitu dua pertuduhan mendatangkan cedera, menggunakan kekerasan jenayah dan berkelakuan tidak senonoh dengan mengeluarkan perkataan kurang sopan di Balai Polis Trafik Kota Damansara.

Sumber: Bernama